Tuesday, March 2, 2010

UPKR DIMINTA ADAKAN GOTONG-ROYONG

UPKR DIMINTA ADAKAN GOTONG-ROYONG : HAMISA
TAWAU : 2 Mac 2010

Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Tanjung Batu di sini diminta mengadakan gotong-royong secara berterusan di kawasan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, penganjuran gotong-royong yang kerap amat penting bagi mewujudkan kawasan persekitaran yang lebih selesa dan bersih.

"Program gotong-royong tidak sepatutnya dilakukan pada hari-hari tertentu sahaja, sebaliknya ia perlu diadakan setiap minggu bagi memastikan keberkesanan program yang dilaksanakan.

"Persekitaran yang bersih akan dapat mencegah pelbagai penyakit berjangkit seperti denggi dan chikungunya daripada merebak.

"Jadi, pastikan persekitaran sentiasa bersih kerana faktor tersebut sama pentingnya dengan soal menjaga kebersihan diri," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Gotong Royong bersama Askar Wataniah kerjasama dengan UPKR N.59 Tanjung Batu dan JKKK Kalabakan di Tapak Peringatan Pahlawan Kalabakan

Turut hadir Mejar Mohd Zaidi dari Kem Kg. Kalabakan Pasukan Batalion ke 22 serta pemimpin masyarakat dan kakitangan Unit PKR Tanjung Batu.

Katanya, aktiviti gotong-royong juga dapat menyemai sikap bersih dan bertanggungjawab dalam kalangan anggota masyarakat.

"Kami mahu mengajak orang ramai sama-sama menjaga alam sekitar yang mana kita dapat lihat banyak pencemaran yang berlaku. Ini adalah salah satu cara untuk mendidik orang ramai bersama-sama memelihara alam sekitar," katanya.

Gambar :

Satu Malaysia....Hamisa Samat (kanan) menyertai gotong-royong bersama Askar kerjasama dengan UPKR N.59 Tanjung Batu dan JKKK Kalabakan di Tapak Peringatan Pahlawan Kalabakan, Tawau kelmarin.

HARI BERSAMA PELANGGAN JAB INSOLVENSI CAW TAWAU

Golongan muda paling ramai bankrap di Tawau
TAWAU 2 Mac –2010

Mereka yang berusia 34 tahun ke bawah dikenal pasti sebagai golongan paling ramai diisytiharkan bankrap di daerah ini berikutan sikap mereka yang terlalu ghairah membuat pinjaman bank bagi membeli kereta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samad berkata, ini berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia dari tempoh 2005 hingga 2009.

Katanya, akibat terburu-buru dan tidak memikirkan kemampuan membayar balik menyebabkan golongan berkenaan gagal menjelaskan pinjaman bank dan diisytiharkan bankrap.

"Jabatan Insolvensi merekodkan kebanyakan masalah pinjaman yang menyebabkan bankrap berpunca daripada pinjaman kereta yang menyaksikan 48 orang bankrap dalam tempoh tersebut.

"Daripada jumlah itu dua orang berumur bawah 25 tahun manakala 46 orang lagi berumur antara 25 hingga 34 tahun," katanya selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Tawau di sini kelmarin.

Turut hadir Pengurus Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Tawau, Istazz Hardyan Eiddros dan Pegawai Insolvensi, Zakiah Kalipunya

Menurut Hamisa, dalam tempoh tersebut Jabatan Insolvensi merekodkan 309 individu yang diisytiharkan bankrap akibat pelbagai jenis pinjaman di daerah itu.

Dalam pada itu Hamisa berkata, statistik berkenaan amat mengejutkan memandangkan ramai golongan muda terlibat.

Justeru beliau berharap pelbagai program pengurusan kewangan termasuk di peringkat sekolah dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Selain itu katanya, beliau juga meminta Jabatan Insolvensi membantu individu yang diisytiharkan bankrap melangsaikan hutang mereka dengan segera.

"Saya menasihatkan golongan muda supaya berhati-hati dalam berbelanja dan menguruskan wang supaya mereka tidak diisytiharkan bankrap.

"Saya juga meminta Jabatan Insolvensi supaya menganjurkan lebih banyak pameran dan seminar bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai bankrap dan peranan jabatan itu," katanya.

Gambar:

Penerangan....Adun Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samad sedang mendengar penerangan daripada (kiri sekali) Pegawai Insolvensi, Zakiah Kalipunya sambil diperhatikan oleh (kanan sekali) Pengurus Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Tawau, Istazz Hardyan Eiddros

Powered By Blogger