Tuesday, August 4, 2009

LAWATAN KE TAPAK CADANGAN PEKAN BARU KALABAKAN, TAWAU


Peluang bangun pekan baru Kalabakan cerah
Oleh Hassan Omar

LPPB kaji kesesuaian lokasi penuhi rayuan penduduk

KALABAKAN: Rayuan penduduk di sini sejak selepas merdeka untuk menikmati kemudahan pekan baru dijangka mampu direalisasikan berikutan kesediaan Lembaga Pembangunan Perumahan Dan Bandar (LPPB) Sabah menjalankan kajian mengenai kesesuaian projek berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat; Timbalan Pengurus Besar LPPB, Rosnani Asmat; Pengurus Bahagian Sosio Ekonomi LPPB, Michael Lamsing; Penyelia Kerja LPPB, Chin Khi Vui dan Pemaju Mukim Kalabakan, Harris Abdullah, semalam melawat tapak cadangan projek itu.

Ia bertujuan mengkaji kesesuaian kawasan sekitar bulatan Jalan Kalabakan-Nabawan, tidak jauh dari Kampung Rancangan Kalabakan untuk dijadikan pekan baru Kalabakan berdasarkan lokasinya yang strategik antara persimpangan Jalan Kalabakan-Nabawan dan Jalan Kalabakan-Tawau.

Bagaimanapun, setakat ini belum mampu dipastikan keluasan sebenar tapak cadangan berkenaan kerana ia membabitkan beberapa aspek berkaitan pemilikan tanah.

Hamisah, berkata keperluan berkenaan tidak pernah dipandang sepi, sebaliknya akan dipenuhi melalui projek pembinaan premis komersial.

Katanya, cadangan pembangunan pekan baru itu dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sejak beberapa tahun lalu bagi membolehkan penduduk daerah ini menikmati kemudahan kedai dan pejabat yang lebih sempurna berbanding pekan kecil di Kampung Rancangan Kalabakan.

Beliau berkata, dengan siapnya pembinaan jalan tidak berturap antara Kalabakan ke Nabawan beberapa tahun lalu, jumlah penduduk Sabah dari Keningau, Nabawan, Pensiangan dan kebanyakan kawasan Pantai Barat Sabah yang lain ke Tawau dengan melalui jalan berkenaan semakin meningkat.

"Saya yakin, jika kawasan itu dimajukan, lebih ramai penduduk Sabah dan pelancong tempatan serta asing akan mengunjungi Kalabakan dengan melalui jalan itu. Dengan adanya pekan baru itu, penduduk bakal mendapat peluang perniagaan dan pekerjaan," katanya.

Disember lalu, akhbar ini melaporkan rayuan penduduk di sini yang dahagakan pekan baru. Walaupun sudah 51 tahun merdeka dan 45 tahun Sabah menyertai pembentukan Malaysia, mereka masih belum mampu menikmati kemudahan sebuah pekan berbanding masyarakat luar bandar yang lain di negeri ini.

Powered By Blogger