Thursday, July 30, 2009







NKRA KAKITANGAN KERAJAAN, PEMIMPIN MASYARAKAT PERLU BERI PERHATIAN SERIUS :
Tawau : Enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan mesej yang perlu diberi perhatian serius oleh seluruh kakitangan kerajaan dan jentera Barisan Nasional (BN).
Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, ini kerana NKRA bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) itu adalah bagi menjayakan matlamat kerajaan membela rakyat secara bersepadu, konsisten dan terancang.
"Ini adalah rentetan daripada konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sekali gus membuktikan beliau mahu pelaksanaannya sampai kepada sasaran rakyat.
"Oleh sebab itu, seluruh kakitangan kerajaan,agensi-agensi yang berkaitan termasuk jentera parti komponen BN bergerak memberi sokongan padu menjayakan agenda tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Info Bestari Kampung Simpang Tiga, Merotai di sini kelmarin.
Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Laja Besar Hj. Lulok, wakil-wakil agensi kerajaan daripada daerah Tawau dan pemimpin masyarakat.
Hamisa berkata, Perdana Menteri sedar bahawa kelompok rakyat di kawasan luar bandar masih banyak yang masih belum menerima kemudahan bekalan air bersih dan elektrik menyebabkan suatu tindakan lebih serius perlu dilakukan.
Katanya, begitu juga masalah miskin tegar yang masih membelenggu masyarakat luar bandar dan bandar yang juga memerlukan perhatian khusus daripada kerajaan bagi memastikan tidak ada rakyat yang tertinggal menikmati kemajuan dan kesejahteraan negara.
"Sebab itu kita amat mengharapkan seluruh kakitangan kerajaan bergerak serentak menyambut pengumuman Perdana Menteri itu dengan bekerja lebih kuat memastikan setiap perancangan yang ada dilaksanakan mengikut jadual.
"Tindakan turun padang secara lebih aktif perlu dilakukan bagi memastikan masalah-masalah rakyat di peringkat akar umbi dapat ditangani lebih cepat dan berkesan," katanya.
Beliau berkata, kakitangan kerajaan juga perlu memberi kerjasama lebih erat kepada wakil-wakil rakyat dalam usaha memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Selain itu katanya, pemimpin masyarakat termasuk pertubuhan dan persatuan setempat termasuk Info Bestari perlu memainkan peranan masing-masing sebagai katalis kepada agensi kerajaan.
"Mereka perlu memainkan peranan yang sama sebagai jambatan kepada agensi kerajaan sama ada sebagai menyampai maklumat, agen kesedaran serta pemudah cara kepada rakyat.
"Jika semua pihak bekerjasama khususnya peranan berkesan yang dimainkan oleh penjawat awam, kita yakin hasrat murni Perdana Menteri untuk mendahului rakyat dalam apa juga agenda kerajaan akan terlaksana," katanya.
Tambah beliau, meskipun apa yang cuba dicapai oleh Perdana Menteri sukar untuk dilihat dalam sekelip mata, namun semangat, kesungguhan dan tindakan beliau akan memberi lebih kemakmuran kepada rakyat bagi tempoh jangka panjang.
Beliau turut berharap agar parti-parti pembangkang turut menyokong NKRA jika ikhlas selama ini berjuang bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Jangan hanya pandai menabur fitnah dan menanam kebencian di kalangan rakyat kepada kerajaaan. Parti pembangkang perlu juga menyokong agenda yang berfaedah kepada rakyat," ujar beliau.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Laja Besar Hj. Lulok memberitahu terdapat dua Komuniti Bestari dalam Dun Tanjung Batu iaitu Kampung Tanjung Batu Darat dan Kg. Kalabakan.
Untuk daerah Tawau sahaja terdapat 12 komuniti bestari. Katanya, Info Bestari sebelum itu dikenali K3P (Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) dan berperanan untuk memberi maklumat balas kepada masyarakat di akar umbi selain membantu wakil-wakil rakyat kawasan yang diwakili oleh mereka.
Gambar:
1. Hamisa menyampaikn sijil peyertaan kepada wakil-wakil agensi kerajaan sambil diperhati Laja (kanan sekali)
2. Beramah mesra dengan masyarakat setempat di Kampung Simpang Tiga, Merotai.
3. Hamisa mendengar salah seorang rungutan penduduk kampung mengenai permasalahan di kampung berkenaan

Thursday, July 23, 2009

Perasmian Kedai Dobi Dr. Clean


REBUT INSENTIF PERNIAGAAN DISEDIAKAN
Tawau :

Usahawan wanita perlu memiliki semangat, kekuatan serta keyakinan yang tinggi untuk menghadapi cabaran-cabaran dunia perniagaan dewasa ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata, golongan usahawan wanita bumiputera disaran supaya merebut pelbagai insentif yang ditawarkan kerajaan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, kerajaan telah menyediakan banyak pakej pembiayaan perniagaan bagi mencapai matlamat tersebut. Golongn ini perlu direbut dan digunakan sepenuhnya untuk memajukan perniagaan yang sedang dijalankan.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kedai Dobi Dr Clean di Tawau kelmarin. Hadir sama pemilik premis kedai dobi Siti Dagar.

Menurut Hamisa kerajaan akan berusaha mengetengahkan lebih ramai usahawan wanita di negeri ini terlibat secara aktif dalam dunia keusahawanan bagi memastikan golongan itu dapat bersaing dalam bidang perniagaan yang masih dikuasai oleh golongan lelaki.

Katanya pada masa yang sama, katanya, golongan tersebut perlu bijak merancang dalam usaha merealisasikan hala tuju perniagaan mereka.











Tuesday, July 14, 2009

Majlis Penerangan Bantuan Kebajikan


PEMIMPIN PERLU PEKA MASALAH RAKYAT : HAMISA
Tawau :

Pemimpin masyarakat di daerah ini diminta lebih peka dengan masalah rakyat di peringkat akar umbi terutama bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata, mereka juga perlu sentiasa bersikap proaktif terhadap sesuatu keperluan supaya kerajaan dapat bertindak lebih awal dalam menyelesaikan isu-isu rakyat.

"Kita tidak mahu mereka hanya duduk diam tanpa menjalankan tugas sebagai pemimpin masyarakat," katanya pada Majlis Penerangan Bantuan Kebajikan Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Tawau di Auditorium Perpustakaan Tawau di sini kelmarin.

Hamisa berkata, pemimpin masyarakat bukan sahaja bertangguingjawab untuk membantu kerajaan dalam melaksanakan pentadbiran di peringkat akar umbi termasuk menyalurkan idea mengenai pembangunan di kawasan masing-masing tetapi juga mengenal rakyat di kawasan mereka yang memerlukan bantuan melalui Projek Cari Jabatan Kebajikan Masarakat.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa bersedia menimbang keperluan penduduk jika dilihat bersesuaian bagi memastikan faedahnya dapat dinikmati bersama.

"Kerajaan akan memberi sokongan daripada segi moral mahupun bantuan kewangan bagi meningkatkan kemajuan dan keselamatan kampung agar penduduk dapat hidup dengan aman dan selasa.

Menurut beliau yang juga Pengerusi MPWK Parlimen Kabalabkan berkata, program itu penting bukan sahaja bagi membela golongan kurang berkemampuan tetapi juga memastikan tidak ada pihak yang tersisih dengan kemajuan dan perkembangan semasa.

“Kita tidak mahu ada penerima bantuan yang layak tercicir dari mendapat bantuan kerana isu ini akan dijadikan bahan pihak-pihak tertentu untuk mempengarui rakyat bahawa kerajaan BN tidak prihatin

Turut hadir Pengerusi MPWK Parlimen Tawau, Hajah Rosdiana Mohd Noor, Penolong Pengarah Bahagian Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Tawau, Asnah Hj Kassim, Pegawai Kebajikan Masyarakat dan Razalie Titul Salabin serta ahli-ahli MPWK Parlimen Tawau.



Monday, July 13, 2009

PERLANTIKAN ARMANI SEBAGI TIMBALAN YANG DIPERTUA DEWAN NEGARA WANITA PERTAMA

Perlantikan Armani Bukti Kebolehan Wanita : Hamisa
Kota Kinabalu

Pelantikan Senator Datuk Armani Mahiruddin dari Sabah sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara ke-11 membuktikan kepercayaan kerajaan Barisan Nasional akan kebolehan wanita memimpin badan penggubal undang-undang tertinggi negara.

Adun Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata pelantikan itu tepat pada masanya dan selaras dengan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan.

“Saya yakin, dengan kebolehan dan pengalaman luas Senator Datuk Armani dalam pelbagai bidang, beliau dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi dan cemerlang

Beliau mengulas pelantikan Armani, 52, yang mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Wong Foon Meng pada Khamis lalu.

Hamisa yang juga Ketua Wanita UMNO Kalabakan menambah pelantikan Armani, yang juga Exco Wanita Umno, mencatat sejarah kerana buat pertama kalinya wanita diberi pengiktirafan menyandang jawatan itu.

“Pelantikan Armani akan menjadi inspirasi kepada golongan wanita, terutama di Sabah, untuk bekerja lebih keras memajukan diri dalam apa jua bidang. Pelantikan beliau akan menggalakkan lebih ramai wanita untuk berani mencari ilmu dan pengalaman dalam bidang profesional.

“Kerajaan pimpinan Barisan Nasional ternyata menghargai pengorbanan wanita kepada negara dan memberi kepercayaan kepada golongan itu untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan,” ujar beliau lagi.

Tuesday, July 7, 2009

Sambutan Hari Puteri Islam Daerah Tawau 2009


GENERASI MUDA PERLU SEDIA HADAPI CABARAN MINDA : HAMISA

Tawau : 1 Julai 2009

Generasi muda perlu bersedia menghadapi cabaran pertarungan minda dan perubahan persekitaran yang begitu pantas bagi memastikan kemerdekaan negara dapat terus dikekalkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat mengingatkan mereka agar tidak mengambil ringan perkara itu kerana segala pencapaian negara akan lenyap dalam sekelip mata akibat pelbagai ancaman seperti kegawatan politik, ekonomi dan sosial yang boleh tercetus dengan mudah.

Beliau berkata, rakyat tidak boleh leka dengan perkara-perkara yang kurang membawa manfaat, sedangkan dunia kian berubah dan perlumbaan untuk menempa kejayaan berterusan dalam semua lapangan berlangsung tanpa henti.

“Pada fikiran saya, ancaman kepada kemerdekaan pada masa ini terdapat dalam pelbagai bentuk. Apabila sesebuah negara itu lemah dari segi tidak mampu meletakkan pandangannya di hadapan, itu bukan kemerdekaan yang sebenar.

“Apabila sesebuah negara itu tidak mampu merencanakan hala tujunya disebabkan tekanan daripada pihak lain dan apabila rakyat dipaksa untuk menerima idea orang lain, itu bermakna kemerdekaan negara itu telah benar-benar terhakis,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucapa Sambutan Hari Puteri Islam Daerah Tawau 2009 di Masjid Al-Kausar, Tawau di sini kelmarin.

Program merupakan anjuran Pergerakan Puteri Islam Daerah Tawau dan Jakim Tawau. Antara acara aktiviti diadakan ialah pertandingan kawad kaki, pertandingan nasyid, forum, sukaneka, masak tanpa api, gubahan bahan terbuang, pertandingan membuat brosur dan pertandingan tatarias tudung

Menurut Hamisa, Malaysia selama hampir 52 tahun kemerdekaan telah berjaya menikmati kebebasan dari segi memberikan pandangan dan merangka hala tuju sendiri dalam membangunkan negara.

“Dalam proses itu, negara ini telah mendapat penghormatan dunia. Tetapi bagi mengekalkan perkara itu, kita mesti benar-benar bersedia dan mempunyai cukup kelengkapan.

“Senjata yang paling ampuh ialah ilmu pengetahuan kerana ia merupakan kunci kepada inovasi, diplomasi yang berkesan, perancangan ekonomi yang berjaya dan pembinaan struktur sosial yang berkesan,” katanya.

Hamisa mengingatkan generasi muda bahawa bukan mudah untuk negara mencapai tahap ekonomi yang mapan, dinamik dan pada masa yang sama berjaya memelihara perpaduan kaum.

“Sudah tentu bukan mudah untuk mengubah secara total rupa bentuk fizikal dan sosial sebuah negara yang dahulunya dianggap mundur kepada sebuah kuasa ekonomi serantau yang menjadi contoh kepada negara-negara membangun dan dikagumi negara Timur dan Barat.

“Kejayaan itu tidak datang sendiri sebaliknya berlaku hasil perancangan yang rapi dan percaturan yang penuh bijaksana oleh kepimpinan negara,” katanya.

Dalam hal ini, Hamisaa berharap Puteri Islam yang merupakan satu daripada penggerak generasi muda dapat bertindak ke hadapan dengan membawakan modul yang bermanfaat kepada golongan muda di seluruh negara supaya mereka bangkit menyedari tentang realiti yang sedia menanti pada masa depan.

Katanya, kepimpinan dan ilmu pengetahuan adalah komponen yang penting dan kritikal dalam melahirkan generasi serba boleh dan tenaga kerja yang dapat memenuhi persaingan global.


Powered By Blogger