Tuesday, December 29, 2009

KEM JATI DIRI DAN MOTIVASI





JANGAN BIAR GOLONGAN BELIA DIPERALATKAN : HAMISA
Tawau : Para pemimpin masyarakat di sekitar Daerah Tawau supaya sentiasa prihatin terhadap golongan belia tersebut dan jangan biarkan diri generasi ini diperalatkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat mahu rakyat dan belia pejuang membela kebenaran, keharmonian, keamanan dan kegemilangan tanpa menggadai maruah bangsa, agama dan tanah air tercinta.

Beliau mahu program-program pembangunan belia perlu selari dengan keadaan persekitaran dan tuntutan semasa. Ini bermakna program-program pembangunan belia harus memperkukuhkan jati diri dan semangat patriotisme belia selain memperkukuhkan nilai integrasi kaum.

“Kepesatan liputan media terhadap isu-isu negatif yang dikaitkan dengan belia seperti rempit, buang bayi, pergaulan bebas, penagihan dadah dan pil-pil khayal semakin menguatkan perasaan kurang senang masyarakat terhadap belia kita pada hari ini.

“Bagi saya persepsi negatif ini perlu diperbetulkan. Masyarakat perlu melihat belia sebagai aset penting negara dan lebih agresif menyertai arus pembangunan negara. Untuk itu, kita semua bertanggungjawab untuk berusaha menjadikan mereka lebih bertanggungjawab, mendengar dan menerima pandangan mereka selain melibatkan mereka secara langsung dalam proses pembuatan dasar.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan perasmian Kem Bina Jati Diri dan Motivasi anjuran Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak Daerah Tawau di Pusat Pendidikan Rekreasi Luar Bebika Lion Hill Tawau, kelmarin.

Hadir sama Pegawai Kebajikan Masyarakat Tawau, Ahmad Razalie Selabin serta peserta Kem Jati Diri. Kira-kira 70 belia terdiri daripada para pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 program tiga hari berakhir kelmarin.

Jelas Hamisa generasi belia perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman baru ekoran kemunculan era dunia tanpa sempadan. Mereka perlu melakukan perubahan diri, perubahan fikiran dan cara berfikir, perubahan sikap dan perubahan cara bertindak dan disiplin.

Katanya persepsi masyarakat kepada golongan belia juga perlu turut diperbetulkan. Ini kerana dewasa ini semakin wujud persepsi masyarakat yang semakin negatif kepada belia di mana tanggapan belia sebagai satu liabiliti atau bebanan kepada negara semakin kedengaran.

Hamisa berharap golongan belia harus mempunyai sikap berdikari dalam segala usaha mereka. Mereka harus mempunyai matlamat hidup yang jelas, cita-cita tinggi untuk maju, disiplin diri dan berani menghadapi perubahan ke arah kebaikan.

Katanya dengan pendekatan sikap-sikap yang negatif seperti takut menghadapi risiko, tidak toleran, kekurangan minat terhadap sesuatu yang boleh mendatangkan faedah, tidak suka bekerjasama dan mementingkan diri sendiri hendaklah dikikis dan dibuangkan.

Beliau berkata, belia yang dilahirkan selepas kemerdekaan Malaysia sering dikaitkan dengan isu kemodenan dan betapa untung dan bertuahnya anak-anak merdeka hari ini kerana dapat menikmati hasil perjuangan generasi dan pemimpin-pemimpin sebelum ini.

“Generasi muda hari ini juga menjadi saksi kemakmuran, keharmonian, kekayaan, keamanan dan kegemilangan Malaysia selepas merdeka.

“Generasi belia wajar menilai sumbangan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dan memahami perit getir yang mereka lalui pada ketika itu supaya kita hari ini dapat memahami secara mendalam dan insaf mengenai pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka ketika itu, “ katanya.

.


Powered By Blogger