Tuesday, August 11, 2009

SUKAN KOMUNITI BESTARI TANJUNG BATU


Sukan rapatkan hubungan kaum : Hamisa
Tawau :

Datuk Hajah Hamisa Samat berkata, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada bidang sukan kerana ia penting dalam pembangunan negara.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, sukan boleh digunakan bagi merapatkan hubungan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan berbeza peringkat umur dan latar belakang sosial.

“Langkah ini bukan sahaja untuk menjadikan Malaysia negara sukan yang memenangi banyak pingat di peringkat antarabangsa tetapi ia turut membolehkan interaksi dilakukan antara rakyat tanpa apa-apa halangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sukan Komuniti Bestari Kampung Tanjung Batu, Tawau, di sini kelmarin.

Sehubungan dengan itu Hamisa turut menyarankan golongan belia agar terus bergerak secara aktif dalam persatuan bagi memantapkan jati diri dan menimba pengalaman luas tentang kepimpinan di sesebuah organisasi.

Jelasnya, usaha berkenaan harus diberi penekanan secara berterusan bagi memastikan golongan belia dapat memanfaatkan faedah dalam persatuan yang disertai mereka.

Justeru itu, beliau mahu golongan belia sentiasa peka dan turut serta dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''Kita mahu agar golongan belia dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam aktiviti berpersatuan kerana ia bukan sahaja dapat mendedahkan mereka dengan ilmu pengetahuan. Malah dapat mengasah bakat kepimpinan sesebuah organisasi belia,” ujar beliau lagi.

Powered By Blogger