Monday, December 14, 2009

KARNIVAL JUALAN MEGA 2009 DI TAWAU


Belilah barangan buatan Malaysia
Tawau : 14 Dis 2009

Para pengguna di daerah Tawau diminta mengutamakan barangan buatan tempatan dan tidak memperkecil-kecilkan produk sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata buatan tempatan juga mempunyai kualiti dan mutu yang setanding dengan jenama luar negara.

Beliau menambah citarasa pengguna yang sentiasa berubah dan kemunculan permintaan yang berbeza membuka peluang-peluang baru yang boleh dimanfaatkan.

“Penekanan terhadap faktor kepuasan pengguna perlu ditingkatkan bagi menggalak dan mempertingkatkan aktiviti beli belah khususnya di kalangan para pelancong,” ujarnya

Hamisa turut menyeru kepada pihak yang berkenaan agar terus berganding bahu dan bekerjasama.

“Saya percaya hanya dengan usaha kolektif antara pihak kerajaan dan pihak swasta akan membawa keuntungan kepada negara.

Jelasnya salam usaha memasarkan daerah Tawau dan produk-produknya ia perlu mengutamakan dari segi aspek kualiti, kepelbagaian dan harga barangan yang berdaya saing perlu diberikan perhatian yang serius. Begitu juga dengan aspek-aspek penampilan peragaan tingkap dan pembungkusan barangan.

“Semua pihak yang terlibat dalam industri ini hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan kemampuan dan daya saing masing-masing.

Beliau berkata demikian semasa merasmikain Karnival Jualan Mega 2009 peringkat daerah Tawau kelmarin.

Beliau turut menyambut baik inisiatif program ini yang melibatkan penyertaan semua pihak termasuklah para peniaga kecil dan peniaga lain yang berasaskan industri pertanian.

Tegas beliau langkah ini sudah tentu akan memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada para peniaga untuk mempamer dan memasarkan hasil-hasil produk mereka.

“Usaha ini tentunya akan membantu meningkatkan sumber ekonomi dan taraf hidup serta pemikiran masyarakat di luar bandar, khususnya masyarakat di daerah Tawau ini.

“Amat penting untuk kita meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi saingan era globalisasi. Melalui pelbagai inisiatif kerajaan, rakyat hendaklah mempunyai daya kreativiti dan inisiatif dengan meneroka sumber kekayaan baru berasaskan sumber semulajadi dan pertanian. Semua ini memerlukan perubahan dan anjakan pemikiran dalam kalangan masyarakat di luar bandar,” jelas beliau lagi.





Powered By Blogger