Tuesday, July 7, 2009

Sambutan Hari Puteri Islam Daerah Tawau 2009


GENERASI MUDA PERLU SEDIA HADAPI CABARAN MINDA : HAMISA

Tawau : 1 Julai 2009

Generasi muda perlu bersedia menghadapi cabaran pertarungan minda dan perubahan persekitaran yang begitu pantas bagi memastikan kemerdekaan negara dapat terus dikekalkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat mengingatkan mereka agar tidak mengambil ringan perkara itu kerana segala pencapaian negara akan lenyap dalam sekelip mata akibat pelbagai ancaman seperti kegawatan politik, ekonomi dan sosial yang boleh tercetus dengan mudah.

Beliau berkata, rakyat tidak boleh leka dengan perkara-perkara yang kurang membawa manfaat, sedangkan dunia kian berubah dan perlumbaan untuk menempa kejayaan berterusan dalam semua lapangan berlangsung tanpa henti.

“Pada fikiran saya, ancaman kepada kemerdekaan pada masa ini terdapat dalam pelbagai bentuk. Apabila sesebuah negara itu lemah dari segi tidak mampu meletakkan pandangannya di hadapan, itu bukan kemerdekaan yang sebenar.

“Apabila sesebuah negara itu tidak mampu merencanakan hala tujunya disebabkan tekanan daripada pihak lain dan apabila rakyat dipaksa untuk menerima idea orang lain, itu bermakna kemerdekaan negara itu telah benar-benar terhakis,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucapa Sambutan Hari Puteri Islam Daerah Tawau 2009 di Masjid Al-Kausar, Tawau di sini kelmarin.

Program merupakan anjuran Pergerakan Puteri Islam Daerah Tawau dan Jakim Tawau. Antara acara aktiviti diadakan ialah pertandingan kawad kaki, pertandingan nasyid, forum, sukaneka, masak tanpa api, gubahan bahan terbuang, pertandingan membuat brosur dan pertandingan tatarias tudung

Menurut Hamisa, Malaysia selama hampir 52 tahun kemerdekaan telah berjaya menikmati kebebasan dari segi memberikan pandangan dan merangka hala tuju sendiri dalam membangunkan negara.

“Dalam proses itu, negara ini telah mendapat penghormatan dunia. Tetapi bagi mengekalkan perkara itu, kita mesti benar-benar bersedia dan mempunyai cukup kelengkapan.

“Senjata yang paling ampuh ialah ilmu pengetahuan kerana ia merupakan kunci kepada inovasi, diplomasi yang berkesan, perancangan ekonomi yang berjaya dan pembinaan struktur sosial yang berkesan,” katanya.

Hamisa mengingatkan generasi muda bahawa bukan mudah untuk negara mencapai tahap ekonomi yang mapan, dinamik dan pada masa yang sama berjaya memelihara perpaduan kaum.

“Sudah tentu bukan mudah untuk mengubah secara total rupa bentuk fizikal dan sosial sebuah negara yang dahulunya dianggap mundur kepada sebuah kuasa ekonomi serantau yang menjadi contoh kepada negara-negara membangun dan dikagumi negara Timur dan Barat.

“Kejayaan itu tidak datang sendiri sebaliknya berlaku hasil perancangan yang rapi dan percaturan yang penuh bijaksana oleh kepimpinan negara,” katanya.

Dalam hal ini, Hamisaa berharap Puteri Islam yang merupakan satu daripada penggerak generasi muda dapat bertindak ke hadapan dengan membawakan modul yang bermanfaat kepada golongan muda di seluruh negara supaya mereka bangkit menyedari tentang realiti yang sedia menanti pada masa depan.

Katanya, kepimpinan dan ilmu pengetahuan adalah komponen yang penting dan kritikal dalam melahirkan generasi serba boleh dan tenaga kerja yang dapat memenuhi persaingan global.


Powered By Blogger