Thursday, November 19, 2009

Bina lebih banyak rumah kos rendah di Tanjung Batu: Hamisa

Bina lebih banyak rumah kos rendah di Tanjung Batu: Hamisa

18th November, 2009

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan digesa supaya membina lebih banyak rumah kos rendah di kawasan Tanjung Batu bagi menyelesaikan masalah setinggan di kawasan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata, cara tersebut akan membolehkan rakyat yang berpendapatan rendah dapat memiliki rumah sendiri.

“Disebabkan tidak mampu membeli rumah, terdapat penduduk yang membina rumah di kawasan setinggan dan memasang elektrik secara haram dan mencuri bekalan air yang turut menjejaskan pendapatan Sabah Elecriticity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Air,” katanya ketika membahaskan Bajet 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.

Katanya, Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional (BN) telah menyasarkan Sabah “setinggan sifar” menjelang 2020 dengan pembinaan lebih banyak rumah untuk dijual ataupun disewakan kepada penduduk yang belum memiliki kemudahan itu.

Hamisa berkata, sasaran setinggan sifar menjelang 2010 mungkin tidak tercapai pada tahun yang disasarkan itu kerana masih ada 35,000 rumah setinggan di Sabah, sedangkan kemudahan rumah disediakan kerajaan masih tidak mencukupi dari aspek bekalan air, bekalan elektrik dan pembangunan infrastruktur.

Beliau juga turut mencadangkan mana-mana penduduk yang telah lama mendiami kawasan perkampungan dan tanah tersebut, jika boleh diwartakan sebagai perkampungan yang sah.

Dalam pada itu, Hamisa juga menggesa pihak berkuasa tempatan yang berkaitan supaya memeriksa mana-mana pusat hiburan dan pusat permainan di negeri ini, jika mendapati ada pelajar yang ponteng kelas, pemilik-pemilik pusat berkenaan hendaklah diambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Katanya, para pelajar sekolah rendah dan menegang gemar membuang masa berpelesiran di pusat-pusat hiburan, pusat permainan dan kompleks membeli belah pada waktu persekolahan.

“Isu ini perlu diambil perhatian serius dan ditangani secepat mungkin, ini kerana masalah ini banyak berlaku di Tawau, saya perhatikan para pelajar seperti tidak dipantau oleh pihak sekolah ataupun pihak yang berwajib,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna mengujudkan cawangan Jabatan Hal Ehwal Wanita di Tawau dan Sandakan.

Beliau turut mengalu-alukan pengumuman pengwujudan Pusat Rekreasi dan Riadah oleh kementerian itu bagi memudahkan untuk warga emas dan penduduk sekitarnya melakukan aktiviti riadah dan adakah pusat yang akan diwujudkan di Beaufort akan juga diwujudkan di daerah-daerah lain di negeri ini.

Powered By Blogger