Tuesday, March 2, 2010

HARI BERSAMA PELANGGAN JAB INSOLVENSI CAW TAWAU

Golongan muda paling ramai bankrap di Tawau
TAWAU 2 Mac –2010

Mereka yang berusia 34 tahun ke bawah dikenal pasti sebagai golongan paling ramai diisytiharkan bankrap di daerah ini berikutan sikap mereka yang terlalu ghairah membuat pinjaman bank bagi membeli kereta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samad berkata, ini berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia dari tempoh 2005 hingga 2009.

Katanya, akibat terburu-buru dan tidak memikirkan kemampuan membayar balik menyebabkan golongan berkenaan gagal menjelaskan pinjaman bank dan diisytiharkan bankrap.

"Jabatan Insolvensi merekodkan kebanyakan masalah pinjaman yang menyebabkan bankrap berpunca daripada pinjaman kereta yang menyaksikan 48 orang bankrap dalam tempoh tersebut.

"Daripada jumlah itu dua orang berumur bawah 25 tahun manakala 46 orang lagi berumur antara 25 hingga 34 tahun," katanya selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Tawau di sini kelmarin.

Turut hadir Pengurus Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Tawau, Istazz Hardyan Eiddros dan Pegawai Insolvensi, Zakiah Kalipunya

Menurut Hamisa, dalam tempoh tersebut Jabatan Insolvensi merekodkan 309 individu yang diisytiharkan bankrap akibat pelbagai jenis pinjaman di daerah itu.

Dalam pada itu Hamisa berkata, statistik berkenaan amat mengejutkan memandangkan ramai golongan muda terlibat.

Justeru beliau berharap pelbagai program pengurusan kewangan termasuk di peringkat sekolah dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Selain itu katanya, beliau juga meminta Jabatan Insolvensi membantu individu yang diisytiharkan bankrap melangsaikan hutang mereka dengan segera.

"Saya menasihatkan golongan muda supaya berhati-hati dalam berbelanja dan menguruskan wang supaya mereka tidak diisytiharkan bankrap.

"Saya juga meminta Jabatan Insolvensi supaya menganjurkan lebih banyak pameran dan seminar bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai bankrap dan peranan jabatan itu," katanya.

Gambar:

Penerangan....Adun Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samad sedang mendengar penerangan daripada (kiri sekali) Pegawai Insolvensi, Zakiah Kalipunya sambil diperhatikan oleh (kanan sekali) Pengurus Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Tawau, Istazz Hardyan Eiddros

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger