Saturday, November 21, 2009

PROGRAM KRAF KREATIF MPWK PARLIMEN KALABAKAN




Kraf Kreatif bantu tingkatkan pendapatan : Hamisa
Tawau : 21 Nov 2009

Wanita di daerah ini terutama suri rumah dan ibu tunggal digalakkan menyertai program berbentuk latihan kemahiran seperti Kraf Kreatif bagi menjana pendapatan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata, penyertaan dalam program tersebut mampu mengembangkan potensi mereka dalam bidang berkaitan.

''Ilmu yang dipelajari dalam kursus kemahiran seperti ini banyak manfaatnya jika dipraktikkan dengan betul. Ia boleh digunakan untuk menambah mata pencarian keluarga terutama bagi ibu tunggal.

''Dengan kerjasama semua pihak usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat akan berhasil,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup program Kraf Kreatif MPWK Kalabakan di Pusat Khidmat Masyarakat Pekan Kalabakan, Tawau.

Sebanyak 50 peserta yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah dari daerah Tawau terbabit menyertai kursus anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Kalabakan. Program berbentuk kraf kreatif itu antaranya mendedahkan peserta dengan teknik-teknik sulaman dan jahitan manik.

Hamisa yang juga Pengerusi MPWK Parlimen Kalabakan menambah, dalam program tersebut peserta dilatih dengan pelbagai teknik jahitan dan sulaman yang boleh digunakan untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.

''Daripada itu mereka boleh membuka perniagaan sendiri dan menjana pendapatan keluarga. Setiap kejayaan memerlukan usaha dan kebijaksanaan malah seorang wanita itu biar apa pun statusnya perlu produktif dalam meningkatkan pendapatan keluarga," tambah beliau.

Beliau turut meminta golongan ini supaya memanfaatkan peluang dan menguasai pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan, khususnya jahitan dan kraf tangan bagi menjana pendapatan.

Tegasnya, dengan memiliki kemahiran itu mereka akan lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Penguasaan pelbagai kemahiran itu juga sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti modal insan sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara.

"Saya meminta wanita terutama ibu tunggal memanfaatkan segala peluang mengikuti latihan kemahiran untuk meningkatkan taraf kehidupan harian mereka,” kata Hamisa.

Jelasnya, apabila mereka mempunyai ilmu dan kemahiran, ia akan memberi kelebihan kerana boleh menghasilkan banyak idea baru yang kreatif seterusnya dapat memasarkan produk kepada orang ramai.



Powered By Blogger