Tuesday, August 25, 2009

43 KELUARGA MANGSA KEBAKARAN KG TANJUNG BATU TERIMA SUMBANGAN


43 KELUARGA MANGSA KEBAKARAN KG. TANJUNG BATU TERIMA SUMBANGAN
Tawau :
Kira-kira 43 buah keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Batu, Tawau menerima sumbangan berupa barangan makanan harian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat di Masjid Aman Tanjung Batu semalam.

Para penyumbang terdiri daripada Parlimen Kalabakan, UMNO bahagian Kalabakan, Dun Tanjung Batu, Persatuan Palang Merah Tawau, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Tawau dan Biro Putera Pemuda UMNO Kalabakan.

Sumbangan berupa beras, susu, telur, barangan dapur dan pakaian telah diagih-agihkan kepada keluarga mangsa kebakaran. Ini merupakan kebakaran kali ke dua berlaku dalam bulan Ogos selepas di Kampung Vietnam, Tawau baru-baru lalu.


Sunday, August 16, 2009

MANGSA KEBAKARAN KG. VIETNAM, TAWAU




25 orang mangsa kebakaran Kg. Vietnam terima bantuan
Tawau :

Kira-kira 25 orang mangsa kebakaran di Kampung Vietnam, Tawau menerima bantuan daripada pelbagai pihak.

Majlis penyampaian sumbangan disampaikan oleh Adun Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat di tempat kebakaran di sini semalam.

Para penyumbang terdiri Parlimen P.191 Kalabakan,DUN N.59 Tg.Batu,UMNO P.191 Kalabakan, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau.

Antara bantuan yang diagihkan ialah berupa makanan harian seperti beras, peralatan dapur, gula, kopi, dapur gas dan pakaian.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Asnah dan Pemimpin Kemajuan Rakyat kawasan Tanjung Batu Jummain Sawal.

Kejadian berlaku apabila sebuah perkampungan setinggan, di Tanjung Batu Laut, dekat sini, musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 11 pagi Rabu.

Kebakaran di kampung yang terletak cuma 10 meter dari tempat penyimpanan kira-kira 20,000 tong gas memasak sebuah syarikat petroleum di sini, mengakibatkan kehilangan tempat tinggal kepada kira-kira 40 keluarga melibatkan 210 orang.


Wednesday, August 12, 2009

TADIKA KEMAS TANJUNG BATU, TAWAU


IBU BAPA PERLU BERI KEUTAMAAN PENDIDIKAN AWAL ANAK : HAMISA
Tawau :

Ibu bapa diminta mengutamakan pendidikan awal anak masing- masing seiring dengan perkembangan semasa yang kian mencabar.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata, ibu bapa harus peka dengan pertumbuhan minda anak-anak.

Menurutnya, perkembangan minda kanak-kanak berlaku secara berterusan dan ia berubah mengikut keadaan sekeliling, pengaruh individu dan budaya.

‘‘Perlu diingatkan, perubahan anak-anak tidak hanya melibatkan saiz tubuh mereka. Minda anak-anak akan membesar dan berinteraksi dengan individu lain.

‘‘Oleh itu, pendidikan awal amat perlu untuk menyiapkan diri anak-anak itu dalam berhadapan dengan perubahan semasa,’’ kata beliau selepas melawat sekolah Tadika Kemas Tanjung Batu, di sini kelmarin.

Menurut Hamisa, ibu bapa juga perlu menitikberatkan hubungan yang sihat antara anak mereka dengan rakan sebaya lain, mewujudkan ciri-ciri pembelajaran sambil bermain dan mengetengahkan bidang penerokaan bagi merangsang minda mereka.

Beliau berkata, kementeriannya menganjurkan pelbagai kempen dan program mengenai pendidikan awal kanak-kanak bagi melengkapkan persiapan ibu bapa menyediakan pendidikan kepada anak mereka.

Sementara itu, Hamisa berkata, Akta Pusat Khidmat Kanak-Kanak 1984 turut diwujudkan bagi mengawal dan merangsang pertumbuhan industri penjagaan kanak-kanak dengan menyediakan peruntukan undang- undang jika berlaku kes kecuaian dalam penjagaan anak.

Beliaa turut menyarankan glongan ibu bapa diingatkan sentiasa memupuk perasaan kasih sayang serta menerapkan ajaran dan nilai-nilai budaya berunsur agama kepada anak-anak mereka bagi membendung gejala sosial negatif.

“Penerapan nilai-nilai kasih sayang serta ajaran agama dapat membendung golongan remaja dan belia terjebak dengan aktiviti kurang sihat. Peranan ibu bapa dan masyarakat amat penting bagi membantu kerajaan menangani pelbagai kegiatan jenayah yang sering dikaitkan dengan golongan muda yang hilang pertimbangan.

"Anak-anak merupakan aset penting negara dan mereka perlu diberikan kasih sayang sepenuhnya dengan memberikan mereka (anak-anak) pendidikan agama di samping pendidikan akademik," kata Hamisa.

Tuesday, August 11, 2009

SUKAN KOMUNITI BESTARI TANJUNG BATU


Sukan rapatkan hubungan kaum : Hamisa
Tawau :

Datuk Hajah Hamisa Samat berkata, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada bidang sukan kerana ia penting dalam pembangunan negara.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, sukan boleh digunakan bagi merapatkan hubungan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan berbeza peringkat umur dan latar belakang sosial.

“Langkah ini bukan sahaja untuk menjadikan Malaysia negara sukan yang memenangi banyak pingat di peringkat antarabangsa tetapi ia turut membolehkan interaksi dilakukan antara rakyat tanpa apa-apa halangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sukan Komuniti Bestari Kampung Tanjung Batu, Tawau, di sini kelmarin.

Sehubungan dengan itu Hamisa turut menyarankan golongan belia agar terus bergerak secara aktif dalam persatuan bagi memantapkan jati diri dan menimba pengalaman luas tentang kepimpinan di sesebuah organisasi.

Jelasnya, usaha berkenaan harus diberi penekanan secara berterusan bagi memastikan golongan belia dapat memanfaatkan faedah dalam persatuan yang disertai mereka.

Justeru itu, beliau mahu golongan belia sentiasa peka dan turut serta dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''Kita mahu agar golongan belia dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam aktiviti berpersatuan kerana ia bukan sahaja dapat mendedahkan mereka dengan ilmu pengetahuan. Malah dapat mengasah bakat kepimpinan sesebuah organisasi belia,” ujar beliau lagi.

Friday, August 7, 2009

50 SERTAI KURSUS PEMBANGUNAN MODAL INSAN


Belia perlu bertindak aktif : Hamisa
Tawau :

Generasi belia hendaklah bertindak aktif dan bukan pasif dalam merencanakan gerakan masa hadapan yang gemilang demi melahirkan insan berwibawa, tahan cabaran dan mampu menjadi pemimpin suatu hari kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata, jika tindakan itu tidak dilakukan oleh generasi belia, maka akan pincanglah perancangan untuk memperkasakan belia itu seperti mana yang diharap oleh kerajaan.

''Belia merupakan populasi terbesar dalam negara ini. Kalau mereka tidak aktif, sentiasa pasif dalam semua aspek pembangunan, maka apa sahaja yang dirancang oleh kerajaan tidak akan berjaya," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Kursus Pembangunan Modal Insan di King Park Hotel, Tawau di sini, kelmarin.

Seramai 50 peserta menyertai kursus itu yang merupakan anjuran Jabatan Pembangunan negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Dun Tanjung Batu dan Majlis Perbandaraan Tawau. Turut hadir sama dalam majlis, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Persekutuan negeri Sabah, Mohd dan Penolong Pengarah PPNS, Zamli Sabanah

Menurut Hamisa adalah mendukacitakan jika semua kepincangan dan kesilapan dilemparkan kepada generasi belia, sedangkan ramai lagi golongan itu telah mencatatkan kejayaan demi kejayaan.

“Segelintir kadangkala kita tidak faham kenapa belia itu bermasalah. Masalah yang macam mana sedang mereka hadapi. Sebab itulah semua orang menuding kepada belia, bila masalah ditimbulkan oleh segelintir daripada mereka. Saya tidak suka perkara ini berlaku.

''Kita perlu membuat sesuatu supaya belia tidak dijadikan bahan lemparan kutukan dalam masyarakat. Kita perlu cari kesudahannya. Sekarang, tiada tindakan yang betul-betul mampu mengatasi kemelut ini. Kita mahu semua yang terlibat mengubah tanggapan dan menjadikan belia sebagi organ penting dalam masyarakat," kata beliau.

Beliau juga mahu generasi belia bangkit menyahut cabaran untuk meletakkan golongan ini setanding bangsa di luar Malaysia, malahan mampu menjadi lebih baik pada masa hadapan.

''Ingat, ramai pemimpin di negara ini, lahir daripada mereka yang aktif dalam pertubuhan belia. Kita bukan sahaja boleh berjaya dalam satu platform belia, tetapi lebih daripada itu termasuk sukan, usahawan, politik, penyelidikan dan penerokaan sains.

Sehubungan itu, Hamisa juga mahu supaya generasi belia di negeri ini bertindak menjadi mata dan telinga kepada kerajaan termasuklah melaporkan apa sahaja kegiatan sosial yang salah seperti penyalahgunaan dadah dan mat rempit.


Wednesday, August 5, 2009

SUKAN KOMUNITI BESTARI TANJUNG BATU, TAWAU


Kurang bersenam punca utama dapat penyakit
Tawau :


Hamisa ajak masyarakat, kakitangan kerajaan amalkan gaya hidup sihat, pertingkat produktiviti tugas

Masyarakat yang menjalani gaya hidup tidak sihat bukan saja menghasilkan masyarakat berpenyakit tetapi kurang cergas serta tidak mampu melakukan kerja pada tahap optimum yang akhirnya menyumbang kepada masalah produktiviti negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata peningkatan jumlah masyarakat yang tidak sihat terutama pesakit diabetes, jantung, darah tinggi dan kolestrol tinggi akan menyebabkan kos rawatan bertambah dalam jangka panjang.

Katanya, faktor pemakanan, tabiat merokok dan tidak bersenam menjadi antara penyumbang kepada penyakit diabetes, darah tinggi dan jantung selain faktor genetik dan keturunan.

"Negara yang semakin pesat menyebabkan masyarakat mengubah gaya hidup tradisi kepada moden seperti pengambilan makanan berlebihan terutama makanan tinggi kandungan gula, karbohidrat, lemak serta kurang serat.

"Pekerjaan yang dulu dijalankan menggunakan tenaga manusia kini diambil alih oleh mesin, menyebabkan kita kurang melakukan pergerakan fizikal," katanya ketika merasmikan Sukan Komuniti Bestari Mukim Tanjung Batu, Tawau di sini, semalam.

Hamisah berkata, kecenderungan golongan muda terhadap minuman dalam tin, makanan segera dan tidak aktif dengan aktiviti fizikal menyebabkan mereka sangat terdedah kepada pelbagai penyakit.

Katanya, masyarakat kini juga lebih terdedah kepada penyalahgunaan alkohol, tembakau serta mengalami tekanan yang menyebabkan peningkatan kegemukan, darah tinggi dan diabetes yang menjadi faktor risiko utama penyakit kardiovaskular terutama jantung dan strok.

"Faktor utama yang dikenal pasti itu adalah faktor yang boleh diubah dan dikawal melalui perubahan tingkah laku ke arah hidup sihat dan kerajaan negeri mengambil pelbagai inisiatif untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat supaya menjaga kesihatan mereka," katanya.


Tuesday, August 4, 2009

LAWATAN KE TAPAK CADANGAN PEKAN BARU KALABAKAN, TAWAU


Peluang bangun pekan baru Kalabakan cerah
Oleh Hassan Omar

LPPB kaji kesesuaian lokasi penuhi rayuan penduduk

KALABAKAN: Rayuan penduduk di sini sejak selepas merdeka untuk menikmati kemudahan pekan baru dijangka mampu direalisasikan berikutan kesediaan Lembaga Pembangunan Perumahan Dan Bandar (LPPB) Sabah menjalankan kajian mengenai kesesuaian projek berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat; Timbalan Pengurus Besar LPPB, Rosnani Asmat; Pengurus Bahagian Sosio Ekonomi LPPB, Michael Lamsing; Penyelia Kerja LPPB, Chin Khi Vui dan Pemaju Mukim Kalabakan, Harris Abdullah, semalam melawat tapak cadangan projek itu.

Ia bertujuan mengkaji kesesuaian kawasan sekitar bulatan Jalan Kalabakan-Nabawan, tidak jauh dari Kampung Rancangan Kalabakan untuk dijadikan pekan baru Kalabakan berdasarkan lokasinya yang strategik antara persimpangan Jalan Kalabakan-Nabawan dan Jalan Kalabakan-Tawau.

Bagaimanapun, setakat ini belum mampu dipastikan keluasan sebenar tapak cadangan berkenaan kerana ia membabitkan beberapa aspek berkaitan pemilikan tanah.

Hamisah, berkata keperluan berkenaan tidak pernah dipandang sepi, sebaliknya akan dipenuhi melalui projek pembinaan premis komersial.

Katanya, cadangan pembangunan pekan baru itu dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sejak beberapa tahun lalu bagi membolehkan penduduk daerah ini menikmati kemudahan kedai dan pejabat yang lebih sempurna berbanding pekan kecil di Kampung Rancangan Kalabakan.

Beliau berkata, dengan siapnya pembinaan jalan tidak berturap antara Kalabakan ke Nabawan beberapa tahun lalu, jumlah penduduk Sabah dari Keningau, Nabawan, Pensiangan dan kebanyakan kawasan Pantai Barat Sabah yang lain ke Tawau dengan melalui jalan berkenaan semakin meningkat.

"Saya yakin, jika kawasan itu dimajukan, lebih ramai penduduk Sabah dan pelancong tempatan serta asing akan mengunjungi Kalabakan dengan melalui jalan itu. Dengan adanya pekan baru itu, penduduk bakal mendapat peluang perniagaan dan pekerjaan," katanya.

Disember lalu, akhbar ini melaporkan rayuan penduduk di sini yang dahagakan pekan baru. Walaupun sudah 51 tahun merdeka dan 45 tahun Sabah menyertai pembentukan Malaysia, mereka masih belum mampu menikmati kemudahan sebuah pekan berbanding masyarakat luar bandar yang lain di negeri ini.

Monday, August 3, 2009

PNYERAHAN TOOL KITS & SIJIL KURSUS PEMBUATAN KEK GIATMARA


BELIA LUAR BANDAR DISARAN SERTA LATIHAN KEMAHIRAN
Tawau

Golongan belia di luar bandar dan pedalaman disarankan untuk menyertai latiahn dalam bidang kemahiran kerana peluang pekerjaan dalam bidang tersebut sentiasa terbuka luas kata Datuk Hajah Hamisa Samat.

Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu berkata, belia-belia yang mempunyai bidang kemahiran sering mendapat pengiktirafan daripada kerajaan dan sambutan daripada syarikat-syarikat swasta.

Katanya, pada masa ini keperluan tenaga kerja separa mahir dan mahir lebih mendesak apabila kerajaan menjalankan operasi pemutihan atau pengusiran beramai-ramai pendatang asing tanpa izin.

Jelasnya kerajaan terpaksa melakukan tindakan ini untuk mengelak aliran wang keluar negara dan mengurangkan gejala sosial yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan tersebut.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan ‘Tool Kits’ dan penyampaian Sijil Kursus Pembuatan Kek dan Pastri di Tawau.

Turut hadir sama Pengurus GiatMara negeri Sabah, Mohd Fazal Baniamin, Pegawai Mara Daerah Tawau, Mohd Yassin Ajum, Pengurus GiatMara Tawau, Jupri Gamat, Pengurus GiatMara Silam, Nording Gomeng serta 20 peserta kursus.

Hamisa menambah kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh pekerja asing boleh diisini orang belia-belia tempatan dan secara tidak langsung kita mengurangkan pengaliran wang ke negara asing dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Beliau juga menegaskan tanggapan masyarakat yang terpesong terhadap golongan belai yang dipaparkan dalam media dapat dipulihkan dengan kehadiran GIATMARA.

“Penubuhan GIATMARA bukan sahaja mampu memberi latihan kemahiran kepada belia-belia luar bandar.

“Dapat membuka minda belia yang tidak mempunyai haluan dan halatuju untuk mengikuti latihan dan bimbingan yang ditawarkan,” jelas Hamisa.

Tegas beliau masyarakat pedalaman boleh meneroka bidang-bidang baru yang bersesuaian dengan kemahiran dan bidang yang dipelajari daripada GiatMara.

Selain menjadi daya tarikan kepada masyarakat peneroka untuk menggalakan pembabitan belia dalam bidang yang ditawarkan kata Hamisa lagi.

Powered By Blogger