Monday, February 22, 2010

TADIKA KEMAS KALABAKAN


BERI TUMPUAN KEPADA PENDIDIKAN AWAL ANAK-ANAK - HAMISA
Tawau : 22 Feb 2010

Ibu bapa digesa mengguna peluang pendidikan yang disediakan oleh kerajaan untuk memberi ilmu kepada anak-anak mereka seawal usia lima dan enam tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata, institusi pendidikan pra sekolah yang dikendalikan oleh jabatan dan agensi kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tenaga pengajar yang berkemahiran dan berpengalaman.

"Peluang pendidikan pra sekolah akan membantu kanak-kanak mendapat ilmu asas membaca, menulis dan mengira sebelum mereka memasuki alam persekolahan sebenar.

"Selain itu ia juga memberi mereka peluang untuk bergaul dan berinteraksi sesama rakan sebaya serta menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di kelas," katanya selepas melawat Tadka Kemas Kampung Kalabakan di sini semalam.

Hamisa yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan berkata, pendidikan pra sekolah kini diberikan perhatian oleh kerajaan bagi memastikan kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun mengikuti pendidikan tersebut.

"Ini sebenarnya menjadi harapan dasar pendidikan negara yang sentiasa bergerak sejajar dengan keperluan guna tenaga pada masa depan serta daya saing di peringkat global," ujarnya.

Justeru, beliau meminta ibu bapa turut memberi tumpuan pada aspek tersebut, ibarat kata pepatah 'melentur buluh, biar daripada rebung'.

Beliau berkata, penguasaan ilmu pada masa ini tidak terbatas kepada golongan tertentu sahaja tetapi semua pihak perlu diberikan kesempatan termasuk mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya menyeru ibu bapa dan rakyat di daerah Tawau supaya menyemai nilai-nilai murni melalui semangat 1 Malaysia terutama di kalangan kanak-kanak. Nilai-nilai murni itu mampu menjadi lebih bersatu menjadi rakyat yang berjiwa 1 Malaysia,” jelasnya.

Menurut Hamisa lagi, sebagai masyarakat Malaysia boleh memberi sumbangan ke arah 1 Malaysia yang bersatu padu melalui beberapa langkah dengan memahami dan menghayati kembali sejarah pembentukan negara ini.

Katanya, hal ini menuntut masyarakat Malaysia meningkatkan bacaan dan kajian terhadap susur galur perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi perspektif yang menyeluruh.

Tegasnya melalui konsep 1 Malaysia kepelbagaian masyarakat Malaysia ini perlu dijalin secara kukuh dan berterusan. Peningkatan hubungan dan pergaulan menerusi pelbagai cara yang sesuai dan wajar antara pelbagai kaum boleh menghilangkan jurang dan tembok pemisah yang banyak disaluti oleh kepentingan kelompok.
“Usaha menanam semangat 1 Malaysia ke dalam jiwa prlu diterapkan di dalam diri kanak-kanak bermula di peringkat prasekolah lagi.

“Konsep 1Malaysia akan menjadi satu kesinambungan untuk kita terus menikmati hasil kemerdekaan yang diperjuangkan sebelum ini. Ia akan memupuk perpaduan dan membentuk bangsa Malaysia yang teguh dan bersepadu," katanya.

Dalam pada itu, Hamisaturut menggesa pegawai Kemas supaya meninjau keadaan bangunan Kemas yang agak usang dan kondusif dari segi pembelajaran tidak selesa.

“Kita tidak mahu jangan sampai berlaku perkara tidak diingini baru mahu mengambil tindakan,” tegas Hamisa.

Gambar:

1 Malaysia......Hamisa bersama kanak-kanak Tadika Kemas Kalabakan menunjukkan tanda 1 Malaysia.

Powered By Blogger