Friday, June 25, 2010

JANGAN LABEL UMNO TIDAK SETIA KAWAN DALAM BN : HAMISA


JANGAN LABEL UMNO TIDAK SETIA KAWAN DALAM BN : HAMISA
Tawau : 25 Jun 2010

Ketua Wanita UMNO Kalabakan, Datuk Hajah Hamisa Samat (gambar) merasa terkilan dan kecewa dengan kenyataan Ketua Penerangan LDP, Albert Kok yang melabelkan parti UMNO tidak mengamalkan setia kawan dalam Barisan Nasional.

Beliau berkata adalah tidak wajar pemimpin LDP memperkotak-katikkan keputusan dan usul 191 cawangan UMNO bahagian Kalabakan yang dibawa pada persidangan mesyuarat cawangan-cawangan lalu mahukan kerusi Dun Merotai dikembalikan kepada UMNO.

Katanya, apa yang disuarakan oleh 191 ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli UMNO harus diambil kira oleh pemimpin-pemimpin atasan termasuklah pemimpin parti LDP.

“Sebagai pemimpin kita mengambil kira apa juga cadangan, saranan dan usul yang dikemukakan oleh peringkat akar umbi. Jika kita mahu BN masih memerintah di Sabah....jangan terlalu pentingkan diri sendiri tanpa mendengar apa kemahuan dan kehendak rakyat di akar umbi, “tegas Hamisa.

“Tidak wajar kami sebagai parti majoriti dilabelkan tidak mengamalkan setia kawan dalam BN. Kita sentiasa bekerjasama dengan mana-mana dalam parti BN dan kenyataan Albert ini akan mengeruhkan keadaan apabila ada pihak akan mengambil kesempatan di atas pergeseran tersebut.

Tambah Hamisa yang juga Adun Tanjung Batu parti UMNO sentiasa membantu rakan-rakan dalam BN, setiap kali pilihan raya walaupun calon yang diletakkan kawasan tersebut majoriti pengundi Melayu Bumiputera dan ahli UMNO.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Penerangan LDP, Albert Kok dalam satu kenyataan di keluarkan di sini hari ini.

Tegas beliau, kenyataan LDP mengatakan parti UMNO tidak mengamalkan setia kawan dalam BN adalah tidak benar dan tidak seharusnya memperkotak katik keikhlasan, kesetiaaan dan komitmen UMNO dalam membantu rakan-rakan BN di Sabah khususnya di Parlimen Kalabakan.

“Kita (UMNO) sebagai parti terbesar dalam komponen BN sentiasa menyokong, mungkin mereka lupa kerusi Merotai pada pilihan raya umum 2004 dan 2008 LDP, kita sudah buktikan semangat kawan apabila LDP menjadi calon di Merotai dan calon itu menang. Kerana semangat setiakawan dalam BN..... calon BN dari LDP menang. Malah kami tidak membantah kerusi itu di bahagi kepada LDP.

“Parti UMNO sentiasa membantu mana-mana calon yang terpilih menjadi calon di kawasan yang majoiti pengundi Melayu, Bumiputera dan ahli UMNO,” jelas Hamisa.

“Apa yang menjadi kegusaran kami adalah pada pilihan raya umum ke 13 akan datang, ahli-ahli UMNO di kawasan Merotai tidak dapat menjanjikan sekiranya pengundi tidak memihak kepada calon yang bukan dari UMNO diletakkan di situ (Merotai).

Menurut Hamisa senario politik sentiasa tidak menentu. Jika hari ini cuaca politik cerah, tidak mustahil pada sebelah petang mendung berarak tiba. Sebab itu, kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Kita perlu sediakan sampan dan bot-bot penyelamat sebelum banjir melanda.

“Persiapan bagi menghadapi pilihan raya perlu dilakukan sedari awal termasuk maklumat mengenai setiap pengundi agar kita boleh membaca setiap masalah yang ada sekali gus membolehkan kita menyelesaikannya secepat mungkin.

Jelas beliau dalam soal pandangan dan kepercayaan rakyat kepada parti UMNO dan Barisan Nasional. Kita bukan sahaja berhadapan dengan rakyat yang semakin memahami mengenai hak mereka tetapi juga diganggu dengan pelbagai serangan politik daripada parti-parti pembangkang yang cemburukan kejayaan Barisan Nasional.

Katanya usaha untuk menawan hati rakyat hari ini bukan mudah. Ianya amat memerlukan pengorbanan dan semangat bekerja yang tinggi serta tidak sesekali mudah patah hati dengan pelbagai halangan dan dugaan yang mendatang.
Powered By Blogger