Saturday, December 19, 2009

PEMIMPIN TURUN PADANG DEKATI RAKYAT





Dua pemimpin turun padang dekati rakyat
Tawau :

Sempena Maal Hijrah pelbagai program kemasyarakatan telah diadakan untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi. Kedua-dua pemimpin Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat telah turun padang mendekati dan mendengar sendiri denyutan nadi rakyat di peringkat bawah.

Antaranya program tersebut majlis berkhatan beramai-ramai di mana anak-anak kampung itu di arak keliling kampung, penyampaian alat-alat sukan kepada Mukim Dun Tanjung Batu serta lawatan amal ke Hospital Tawau bersama Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO Kalabakan.

Dalam majlis itu, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Ghapur Salleh berkata usaha memulihkan persepsi negatif rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerlukan inisiatif dan komitmen tinggi segenap lapisan kepemimpinan parti, terutama peringkat akar umbi.
Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Kalabakan berkata, ia dapat mengembalikan semula kekuatan dan mewujudkan masa depan yang lebih baik, terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah mengorak langkah sama ada di dalam kerajaan atau menerusi parti untuk memperbetulkan salah tanggap rakyat terhadap kerajaan menerusi gagasan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’

Bagaimanapun, bagi membawa proses perubahan baru yang dapat menganjak pemikiran kepada sesuatu yang lebih besar, ia perlu dipikul bersama segenap pimpinan dalam parti, termasuk akar umbi.

“Mereka adalah sebahagian daripada rangkaian penting kepada pemimpin atasan. Semua ini boleh membantu parti supaya dalam tempoh tidak begitu lama, kita dapat meletak semula landasan baru bagi memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat,” katanya pada majlis berkhatan beramai-ramai di Mukim Dun Tanjung Batu, Tawau di sini semalam.

Sementara itu, Adun Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa serius dalam mengambil berat kebajikan rakyatnya, tanpa diskriminasi kepada mana-mana kumpulan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Menurutnya, kerajaan BN akan memastikan setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama dapat menikmati segala kemudahan serta kehendak dengan adil dan saksama.

''Ada di kalangan rakyat tidak kira kaum masih berhadapan dengan masalah seperti kemiskinan, tiada rumah yang selesa untuk diduduki.

''Sekiranya kita ada azam, tekad dan pendekatan yang inovatif, kita boleh beri sesuatu kepada rakyat,'' katanya.
Hamisa menambah, pembangunan dan pencapaian sesebuah negara tidak hanya diukur dari segi peningkatan pendapatan semata-mata tetapi turut merangkumi aspek-aspek sosial dan keselesaan hidup rakyatnya.

Katanya, dalam proses mencapai tahap itu, kerajaan tidak dapat menolak kewujudan kumpulan-kumpulan penduduk yang memiliki jurang perbezaan pendapatan, antara yang tinggi, sederhana dan rendah.

Bagaimanapun, katanya, yang juga Ketua Wanita UMNO Kalabakan, kemakmuran dan keharmonian sesebuah negara itu sebenarnya terletak kepada keupayaan kerajaan menangani jurang perbezaan pendapatan antara ketiga-tiga kumpulan itu.

"Kemakmuran, keharmonian dan keselesaan yang di kecapi rakyat negeri ini adalah hasil daripada usaha-usaha BN menyediakan kemudahan kepada rakyat. Ia terutama penyediaan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti, selesa dan mampu dimiliki serta kemudahan-kemudahan asas yang lain.

"Matlamat pimpinan BN dalam konteks ini adalah satu, untuk menyediakan kemudahan asas terbaik kepada seluruh rakyat Sabah amnya daerah Tawau tanpa diskriminasi kepada mana-mana kumpulan masyarakat berbilang bangsa," katanya

Jelas Hamisa bahawa Kerajaan BN ikhlas membantu rakyat tidak mementingkan perbelanjaan yang dikeluarkan tetapi yang diutamakan ialah 'outcome' atau hasil yang bakal dinikmati oleh rakyat," katanya.

Gambar :

1. Berkhatan...Kanak-kanak sedang diarak sambil diiringi Ghapur dan Hamisa.
2. Terima kasih...Ghapur menyampaikan bantuan alat-alat sukan kepada Mukim Dun Tanjung Batu dan diperhatikan oleh Hamisa.
3. Amal....Lawatan Amal ke Hospital Daerah Tawau oleh Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO Kalabakan.

Powered By Blogger