Tuesday, May 12, 2009

HAMISA MAHU JABATAN AIR SABAH BERI PENJELASAN BEKALAN AIR SERING TERPUTUS DI TAWAU

 

Penduduk Kampung Tanjung BatuTawau meminta Jabatan Air Sabah mengatasi masalah gangguan bekalan air yang dihadapi oleh mereka sejak beberapa bulan lalu.

 

Penduduk mendakwa disebabkan gangguan bekalan air sering berlaku dan menyebabkan urusan domestik sukar dilakukan dan terbantut.

 

Aduan ini telah disampaikan kepada Wakil Rakyat Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat  semasa mengadakan lawatan ke Kampung Tanjung Batu Laut, 

 

Menurut Hamisa, apa yang mendukacita perkara gangguan bekalan air sering berlaku sehingga berlarutan lima hari berturut-turut.

 

“Antara kumpulan yang menjadi sasaran ibu-ibu yang baru bersalin, surirumah, peniaga, majlis perkahwinan, keramaian dan adakalanya, lebih mendukacitakan bekalan air ini terputus berlarutan sampai berhari-hari.... tempat saya pun tiada air,”tegas Hamisa.

 

Beliau amat kesal dengan kejadian itu berharap Jabatan Air Sabah dapat menanganinya segera.

 

 “Tambahan pula para pelajar akan menghadapi peperiksaan, keadaan ini amat membeban dan memberi tekanan kepada para pelajar.

 

“Para pelajar terpaksa mendapatkan air dari tempat-tempat tertentu dengan menggunakan baldi. Perkara ini perlu diselesaikan segera kerana kita bukanlah negara ketiga yang menghadapi masalah bekalan air,” katanya

 

Sehubungan dengan itu, Hamisa meminta Jabatan Air memberi penjelasan sewajarnya kenapa perkara ini berlaku dan menggesa jabatan berkenaan bertindak dengan segera.

 

Beliau menambah, pihak berkuasa perlu mencari punca kepada segala masalah itu bagi mengelak penduduk di sini terus dibelenggu kebimbangan dan menanggung kerugian.

 

Hamisa memberitahu masalah air sering menjadi tajuk utama  setiap kali beliau mengadakan lawatan atau perjumpaan dengan masyarakat setempat di kawasan itu.

 

 


Powered By Blogger