Sunday, November 29, 2009

Ibadah korban menuntut erti pengorbanan



IBADAH KORBAN MENUNTU ERTI PENGORBAN
Tawau :

Ibadah korban bukan sahaja menuntut umat Islam untuk mengorbankan haiwan tetapi erti korban luas makna jika dihayati dan difahami kata Datuk Hajah Hamisa Samat.

Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu berkata makna berkorban bukan untuk haiwan sahaja tetapi untuk mengeratkan dan menjalinkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat.

Katanya, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam dan menuntut semua masyarakat bermuafakat, tolong menolong dan bersatu padu.

Tambah Hamisa pengorbanan ini hanya akan berlaku sekiranya kita dapat sama-sama kembali untuk memahami dan menghayati konsep, falsafah dan pengajaran di sebalik ibadat haji dan korban dalam erti kata yang lebih luas.

Jelasnya, Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bergandingan tangan, bermuafakat dan saling bantu-membantu tidak kira sewaktu senang atau susah. Tinggalkan segala perbezaan dan elakkan perbalahan sesama sendiri.

“Hal ini agar kita semua menjadi umat yang teguh dan kuat demi membela nasib saudara seagama yang memerlukan. Semoga Aidiladha kali ini mendatangkan keinsafan dan membawa erti pengorbanan yang lebih besar buat umat Islam seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin anjuran Jakim Tawau di Masjid Hidayatul Iman Merotai Besar Tawau semalam. Turut hadir Ketua Pejabat Perhubungan JAKIM Tawau, Ustaz Drs. Isiara Haji Tahir dam masyarakat setempat.

Menurut beliau lagi ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan. Ini kerana Islam menyuruh agar daging sembelihan korban itu disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin, di samping orang yang berkorban juga harus hukumnya memakan sebahagian kecil daripada daging tersebut.

Sehubungan itu Hamisa turut menyeru masyarakat setempat agar perlu penerapan di peringkat awal kanak-kanak tentang sejarah keagungan ibadah korban agar ia terus bersemadi di dalam pemikiran masyarakat," katanya.

Sebenarnya kedatangan bulan Zulhijjah tegas Hamisa adalah bersama kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri.

Gambar:

1. Hamisa menerima cenderahati daripada Ustaz Drs. Isiara di Majlis Mesra Bersama Pemimpin anjuran Jakim Tawau di Masjid Hidayatul Iman Merotai Besar Tawau semalam.
2. Hamisa melihat daging korban sedang dilapah oleh penduduk kampung sebelum diagih-agihkan.
Powered By Blogger