Monday, January 11, 2010

Program Mesra Rakyat

JKKK digalakkan tingkat ilmu orang kampung : Hamisa
Tawau : 11 Jan 2010
Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di daerah Tawau diingatkan tidak meletakkan projek pembangunan fizikal sebagai agenda utama setiap kali mesyuarat, sebaliknya memberikan penekanan terhadap pembangunan minda penduduk kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, JKKK perlu memandang lebih jauh dengan memberi pengisian bermakna terhadap perkembangan minda penduduk, tanpa menjadikan pembangunan fizikal sebagai perkara penting setiap kali mesyuarat.
"Pembangunan fizikal seperti memohon jalan raya, balai orang ramai, bekalan elektrik, air dan rumah murah tidak seharusnya menjadi agenda utama,” ujarnya.
Tegasnya setiap anggota masyarakat perlu sentiasa bekerjasama dengan JKKK bagi mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam sesebuah kampung.
Jelas Hamisa sebagai pemimpin dalam kampung (JKKK) perlu merancang dan melaksana program yang dapat membangun minda penduduk kampung, belia serta remaja, pembangunan sosial seperti menggunakan masjid bagi aktiviti keagamaan, program membanteras gejala dadah dan keilmuan, kemahiran serta aktiviti pendidikan menjurus kepada kecemerlangan pendidikan.
Beliau berkata demikian semasa berucap Program Mesra Rakyat anjuran Kemas Daerah Tawau dengan kerjasama JKKK Kampung Tanjung Batu Laut di Kelas Kafa Tanjung Batu Laut, Tawau kelmarin Hadir sama pada majlis itu Pegawai Kemas Daerah Tawau, Sharizal Mohd Shom
Menurut beliau menerusi cara itu JKKK akan mendapat maklumat dan gambaran lebih tepat sebelum melaksanakan sesuatu perancangan untuk kemajuan.
Pada masa yang sama katanya, hubungan sedemikian akan memudahkan JKKK merencanakan kemajuan yang memenuhi kehendak dan cita rasa serta mewakili suara ramai penduduk.
Sehubungan itu, Hamisa turut meminta agensi seperti Jabatan Kemas Daerah bekerjasama dengan JKKK dan disarankan mengadakan program mesra rakyat untuk mendekati penduduk luar bandar bagi mendengar masalah mereka dan mencari penyelesaian terbaik.
Tambah beliau Kemas boleh memainkan peranan proaktif dalam membantu wakil-wakil rakyat menjaga dan menangani masalah penduduk luar bandar dengan efisien
Powered By Blogger