Monday, December 7, 2009




BELIA PENENTU MASA DEPAN NEGARA : HAMISA

Tawau : 7 Dec 2009

Golongan belia disarankan supaya menjadi penyumbang aktif dalam menjana pembangunan negara sesuai dengan posisi selaku menjadi penentu rupa wajah negara Malaysia pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata golongan belia diharap mampu memainkan peranan bagi membentuk sesebuah negara Malaysia yang diimpikan bersama barisan kepimpinan negara.

Katanya, pertubuhan-pertubuhan belia perlu sedar masih ramai belia yang belum menyertai dalam pertubuhan belia yang sedia ada.

“Cabaran pada hari ini adalah bagaimana kita hendak menambat hati golongan tersebut agar mereka dapat menyumbang ke arah pembinaan sesebuah negara bangsa,” kata Hamisa.

Beliau berkata golongan belia juga perlu bersiap sedia dalam menggarap ilmu dan kemahiran agar mampu berdikari dan berkembang dalam model ekonomi baru yang melanda dunia ketika ini.

Tegas Hamisa konsep 1Malaysia yang diperjuangkan kerajaan ketika ini akan lebih bermakna jika golongan ini turut mengambil pendekatan 1Belia 1Malaysia dengan memupuk perpaduan nasional yang telah dibina.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gaya Hidup Sihat ‘Hayat-Belia’ peringkat daerah Tawau yang dilancarkan di Padang Bandaran Tawau, kelmarin. Program itu berjaya menghimpun kira-kira 300 belia yang mewakili pelbagai persatuan dan kelab di sekitar daerah Tawau.

Menurut Hamisa lagi kerajaan sentiasa bersedia mendengar saranan dan pandangan yang disarankan oleh golongn tersebut bagi memahami aspirasi serta denyut nadi golongan berkenaan.

Jelas beliau pendapat yang mengatakan hanya kerajaan mengetahui perkara baik untuk golongan belia sudah ketinggalan.

Hamisa menegaskan bahawa kerajaan mempunyai cara dan pendekatan untuk mendengar keluhan golongan ini.

“Kerajaan sentiasa bersedia untuk menjadi pendengar yang baik terhadap permasalahan rakyat khususnya golongan belia bakal pewaris masa depan negara.

“Sebagai penghakupayaan dan pewaja ruang program yang lebih luas di antara golongan belia dengan kepimpinan negara, langkah seperti ini perlu diteruskan sebagai usaha kerajaan memahami keperluan, kehendak dan kemahuan para belia,” ujarnya.

Beliau turut menggesa agensi-agensi kerajaan yang berurusan dengan golongan belia supaya mengkaji segala pendekatan mereka dan cuba memahami citarasa golongan tersebut tanpa melakukan sebarang andaian ataupun keputusan.

Tambah beliau, pihak yang berkiatan seharusnya lebih bersikap akomodatif dan prihatin kepada citra belia serta perlu sentiasa turun padang tanpa sekadar menunggu kedatangan golongan tersebut bertemu mereka.

Katanya media alternatif perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam menawan imaginasi golongan belia kerana dalam era revolusi teknologi maklumat kini, menuntut pendekatan yang lebih agresif dan inovatif dalam mendekati golongan berkenaan.

“Dalam melaksanakan program pula, berundinglah dengan kumpulan sasar kita iaitu golongan belia, agar aktiviti-aktiviti yang dijalankan lebih menepati warna dan sentuhan jiwa golongan muda, katanya.

Gambar:

  1. Tarik Tali... kumpulan 50 wanita diketuai Hamisa berjaya mengalahkan 20 kumpulan lelaki.
  2. Terima kasih...Hamisa menerima cenderahati daripada pihak penganjur.
  3. Gaya hidup sihat...antara masyarakat yang hadir menyertai Program Gaya Hidup Sihat ‘Hayat-Belia’ peringkat daerah Tawau di Padang Bandaran MPT Tawau kelmarin.


Powered By Blogger