Sunday, November 15, 2009

165 KANAK-KANAK DARI TADIKA KEMAS FELDA GUGUSAN UMAS, TAWAU TERIMA SIJIL


IBU BAPA HARUS BIJAK MENGIMBANGI MENDIDIK ANAK-ANAK : HAMISA
Tawau : 15 Nov 2009

Ibu bapa haruslah bijak mengimbangi bersikap tegas dan penyayang di dalam usaha mendidik anak mereka kata Datuk Hajah Hamisa Samat.

Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu berkata sedikit sebanyak cara hidup anak-anak pada hari ini telah dipengaruhi oleh budaya daripada luar, dan terdedah dengan era teknologi maklumat dan kemudahan komunikasi (ICT).

Katanya ibu bapa juga tidak perlu terlalu tegas di dalam usaha memberikan didikan yang sempurna kepada anak-anak mereka pada masa kini.

“Ini kerana, persekitaran yang ada pada hari ini tidak sama dengan suasana di zaman tuan-tuan dan puan-puan dahulu. Jika dahulunya, ibu bapa kita menggunakan cara yang tegas untuk membentuk disiplin anak-anak, dan anak-anak mudah dibentuk dan dikawal pergerakan mereka pada masa itu.,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penyampaian sijil Tadika Kemas FELDA Gugusan Umas, Tawau, kelmarin. Kira-kira 165 kanak-kanak sekolah tadika daripada 4 buah gabungan iaitu Tadika Kemas Umas 1, Umas 2, Umas 3 dan Umas 4 menerima sijil masing-masing.

Menurut Hamisa budaya mengharapkan 100 peratus guru-guru mendidik anak-anak mereka hendaklah dihapuskan serta merta di dalam era yang serba mencabar ini.

Jelas beliau ibu bapa haruslah sedar bahawa mereka masih memainkan peranan yang utama di dalam mendidik anak-anak mereka walaupun anak-anak tersebut telah dihantar ke sekolah, tidak kira sama ada sekolah di peringkat tadika, rendah apatah lagi di peringkat menengah.

Tegas Hamisa pendidikan awal terhadap kanak-kanak ialah di rumah, yakni di mana mereka dijaga, diasuh dan dididik oleh kedua ibu bapa mereka dari segi fizikal dan juga mental.

“Sebagai insan yang paling awal mendidik anak, ibu bapa seharusnya memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada anak-anak, bukan sahaja dari segi keperluan harian tetapi juga di dalam bidang pelajaran.

“Saya ingin menyarankan kepada ibu bapa agar membudayakan belajar bersama-sama dengan anak-anak sebagai salah satu cara hidup yang sihat untuk menjamin sebuah keluarga yang bahagia dan berjaya.

Katanya budaya memantau cara pembelajaran anak-anak dan sentiasa memberikan mereka dorongan yang kuat dan nasihat hendaklah senantiasa disuburkan di dalam setiap keluarga di negara ini.




Powered By Blogger