Wednesday, August 5, 2009

SUKAN KOMUNITI BESTARI TANJUNG BATU, TAWAU


Kurang bersenam punca utama dapat penyakit
Tawau :


Hamisa ajak masyarakat, kakitangan kerajaan amalkan gaya hidup sihat, pertingkat produktiviti tugas

Masyarakat yang menjalani gaya hidup tidak sihat bukan saja menghasilkan masyarakat berpenyakit tetapi kurang cergas serta tidak mampu melakukan kerja pada tahap optimum yang akhirnya menyumbang kepada masalah produktiviti negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata peningkatan jumlah masyarakat yang tidak sihat terutama pesakit diabetes, jantung, darah tinggi dan kolestrol tinggi akan menyebabkan kos rawatan bertambah dalam jangka panjang.

Katanya, faktor pemakanan, tabiat merokok dan tidak bersenam menjadi antara penyumbang kepada penyakit diabetes, darah tinggi dan jantung selain faktor genetik dan keturunan.

"Negara yang semakin pesat menyebabkan masyarakat mengubah gaya hidup tradisi kepada moden seperti pengambilan makanan berlebihan terutama makanan tinggi kandungan gula, karbohidrat, lemak serta kurang serat.

"Pekerjaan yang dulu dijalankan menggunakan tenaga manusia kini diambil alih oleh mesin, menyebabkan kita kurang melakukan pergerakan fizikal," katanya ketika merasmikan Sukan Komuniti Bestari Mukim Tanjung Batu, Tawau di sini, semalam.

Hamisah berkata, kecenderungan golongan muda terhadap minuman dalam tin, makanan segera dan tidak aktif dengan aktiviti fizikal menyebabkan mereka sangat terdedah kepada pelbagai penyakit.

Katanya, masyarakat kini juga lebih terdedah kepada penyalahgunaan alkohol, tembakau serta mengalami tekanan yang menyebabkan peningkatan kegemukan, darah tinggi dan diabetes yang menjadi faktor risiko utama penyakit kardiovaskular terutama jantung dan strok.

"Faktor utama yang dikenal pasti itu adalah faktor yang boleh diubah dan dikawal melalui perubahan tingkah laku ke arah hidup sihat dan kerajaan negeri mengambil pelbagai inisiatif untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat supaya menjaga kesihatan mereka," katanya.


Powered By Blogger