Wednesday, August 12, 2009

TADIKA KEMAS TANJUNG BATU, TAWAU


IBU BAPA PERLU BERI KEUTAMAAN PENDIDIKAN AWAL ANAK : HAMISA
Tawau :

Ibu bapa diminta mengutamakan pendidikan awal anak masing- masing seiring dengan perkembangan semasa yang kian mencabar.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata, ibu bapa harus peka dengan pertumbuhan minda anak-anak.

Menurutnya, perkembangan minda kanak-kanak berlaku secara berterusan dan ia berubah mengikut keadaan sekeliling, pengaruh individu dan budaya.

‘‘Perlu diingatkan, perubahan anak-anak tidak hanya melibatkan saiz tubuh mereka. Minda anak-anak akan membesar dan berinteraksi dengan individu lain.

‘‘Oleh itu, pendidikan awal amat perlu untuk menyiapkan diri anak-anak itu dalam berhadapan dengan perubahan semasa,’’ kata beliau selepas melawat sekolah Tadika Kemas Tanjung Batu, di sini kelmarin.

Menurut Hamisa, ibu bapa juga perlu menitikberatkan hubungan yang sihat antara anak mereka dengan rakan sebaya lain, mewujudkan ciri-ciri pembelajaran sambil bermain dan mengetengahkan bidang penerokaan bagi merangsang minda mereka.

Beliau berkata, kementeriannya menganjurkan pelbagai kempen dan program mengenai pendidikan awal kanak-kanak bagi melengkapkan persiapan ibu bapa menyediakan pendidikan kepada anak mereka.

Sementara itu, Hamisa berkata, Akta Pusat Khidmat Kanak-Kanak 1984 turut diwujudkan bagi mengawal dan merangsang pertumbuhan industri penjagaan kanak-kanak dengan menyediakan peruntukan undang- undang jika berlaku kes kecuaian dalam penjagaan anak.

Beliaa turut menyarankan glongan ibu bapa diingatkan sentiasa memupuk perasaan kasih sayang serta menerapkan ajaran dan nilai-nilai budaya berunsur agama kepada anak-anak mereka bagi membendung gejala sosial negatif.

“Penerapan nilai-nilai kasih sayang serta ajaran agama dapat membendung golongan remaja dan belia terjebak dengan aktiviti kurang sihat. Peranan ibu bapa dan masyarakat amat penting bagi membantu kerajaan menangani pelbagai kegiatan jenayah yang sering dikaitkan dengan golongan muda yang hilang pertimbangan.

"Anak-anak merupakan aset penting negara dan mereka perlu diberikan kasih sayang sepenuhnya dengan memberikan mereka (anak-anak) pendidikan agama di samping pendidikan akademik," kata Hamisa.
Powered By Blogger