Thursday, July 30, 2009







NKRA KAKITANGAN KERAJAAN, PEMIMPIN MASYARAKAT PERLU BERI PERHATIAN SERIUS :
Tawau : Enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan mesej yang perlu diberi perhatian serius oleh seluruh kakitangan kerajaan dan jentera Barisan Nasional (BN).
Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, ini kerana NKRA bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) itu adalah bagi menjayakan matlamat kerajaan membela rakyat secara bersepadu, konsisten dan terancang.
"Ini adalah rentetan daripada konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sekali gus membuktikan beliau mahu pelaksanaannya sampai kepada sasaran rakyat.
"Oleh sebab itu, seluruh kakitangan kerajaan,agensi-agensi yang berkaitan termasuk jentera parti komponen BN bergerak memberi sokongan padu menjayakan agenda tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Info Bestari Kampung Simpang Tiga, Merotai di sini kelmarin.
Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Laja Besar Hj. Lulok, wakil-wakil agensi kerajaan daripada daerah Tawau dan pemimpin masyarakat.
Hamisa berkata, Perdana Menteri sedar bahawa kelompok rakyat di kawasan luar bandar masih banyak yang masih belum menerima kemudahan bekalan air bersih dan elektrik menyebabkan suatu tindakan lebih serius perlu dilakukan.
Katanya, begitu juga masalah miskin tegar yang masih membelenggu masyarakat luar bandar dan bandar yang juga memerlukan perhatian khusus daripada kerajaan bagi memastikan tidak ada rakyat yang tertinggal menikmati kemajuan dan kesejahteraan negara.
"Sebab itu kita amat mengharapkan seluruh kakitangan kerajaan bergerak serentak menyambut pengumuman Perdana Menteri itu dengan bekerja lebih kuat memastikan setiap perancangan yang ada dilaksanakan mengikut jadual.
"Tindakan turun padang secara lebih aktif perlu dilakukan bagi memastikan masalah-masalah rakyat di peringkat akar umbi dapat ditangani lebih cepat dan berkesan," katanya.
Beliau berkata, kakitangan kerajaan juga perlu memberi kerjasama lebih erat kepada wakil-wakil rakyat dalam usaha memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Selain itu katanya, pemimpin masyarakat termasuk pertubuhan dan persatuan setempat termasuk Info Bestari perlu memainkan peranan masing-masing sebagai katalis kepada agensi kerajaan.
"Mereka perlu memainkan peranan yang sama sebagai jambatan kepada agensi kerajaan sama ada sebagai menyampai maklumat, agen kesedaran serta pemudah cara kepada rakyat.
"Jika semua pihak bekerjasama khususnya peranan berkesan yang dimainkan oleh penjawat awam, kita yakin hasrat murni Perdana Menteri untuk mendahului rakyat dalam apa juga agenda kerajaan akan terlaksana," katanya.
Tambah beliau, meskipun apa yang cuba dicapai oleh Perdana Menteri sukar untuk dilihat dalam sekelip mata, namun semangat, kesungguhan dan tindakan beliau akan memberi lebih kemakmuran kepada rakyat bagi tempoh jangka panjang.
Beliau turut berharap agar parti-parti pembangkang turut menyokong NKRA jika ikhlas selama ini berjuang bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Jangan hanya pandai menabur fitnah dan menanam kebencian di kalangan rakyat kepada kerajaaan. Parti pembangkang perlu juga menyokong agenda yang berfaedah kepada rakyat," ujar beliau.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Laja Besar Hj. Lulok memberitahu terdapat dua Komuniti Bestari dalam Dun Tanjung Batu iaitu Kampung Tanjung Batu Darat dan Kg. Kalabakan.
Untuk daerah Tawau sahaja terdapat 12 komuniti bestari. Katanya, Info Bestari sebelum itu dikenali K3P (Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) dan berperanan untuk memberi maklumat balas kepada masyarakat di akar umbi selain membantu wakil-wakil rakyat kawasan yang diwakili oleh mereka.
Gambar:
1. Hamisa menyampaikn sijil peyertaan kepada wakil-wakil agensi kerajaan sambil diperhati Laja (kanan sekali)
2. Beramah mesra dengan masyarakat setempat di Kampung Simpang Tiga, Merotai.
3. Hamisa mendengar salah seorang rungutan penduduk kampung mengenai permasalahan di kampung berkenaan
Powered By Blogger