Friday, August 7, 2009

50 SERTAI KURSUS PEMBANGUNAN MODAL INSAN


Belia perlu bertindak aktif : Hamisa
Tawau :

Generasi belia hendaklah bertindak aktif dan bukan pasif dalam merencanakan gerakan masa hadapan yang gemilang demi melahirkan insan berwibawa, tahan cabaran dan mampu menjadi pemimpin suatu hari kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata, jika tindakan itu tidak dilakukan oleh generasi belia, maka akan pincanglah perancangan untuk memperkasakan belia itu seperti mana yang diharap oleh kerajaan.

''Belia merupakan populasi terbesar dalam negara ini. Kalau mereka tidak aktif, sentiasa pasif dalam semua aspek pembangunan, maka apa sahaja yang dirancang oleh kerajaan tidak akan berjaya," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Kursus Pembangunan Modal Insan di King Park Hotel, Tawau di sini, kelmarin.

Seramai 50 peserta menyertai kursus itu yang merupakan anjuran Jabatan Pembangunan negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Dun Tanjung Batu dan Majlis Perbandaraan Tawau. Turut hadir sama dalam majlis, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Persekutuan negeri Sabah, Mohd dan Penolong Pengarah PPNS, Zamli Sabanah

Menurut Hamisa adalah mendukacitakan jika semua kepincangan dan kesilapan dilemparkan kepada generasi belia, sedangkan ramai lagi golongan itu telah mencatatkan kejayaan demi kejayaan.

“Segelintir kadangkala kita tidak faham kenapa belia itu bermasalah. Masalah yang macam mana sedang mereka hadapi. Sebab itulah semua orang menuding kepada belia, bila masalah ditimbulkan oleh segelintir daripada mereka. Saya tidak suka perkara ini berlaku.

''Kita perlu membuat sesuatu supaya belia tidak dijadikan bahan lemparan kutukan dalam masyarakat. Kita perlu cari kesudahannya. Sekarang, tiada tindakan yang betul-betul mampu mengatasi kemelut ini. Kita mahu semua yang terlibat mengubah tanggapan dan menjadikan belia sebagi organ penting dalam masyarakat," kata beliau.

Beliau juga mahu generasi belia bangkit menyahut cabaran untuk meletakkan golongan ini setanding bangsa di luar Malaysia, malahan mampu menjadi lebih baik pada masa hadapan.

''Ingat, ramai pemimpin di negara ini, lahir daripada mereka yang aktif dalam pertubuhan belia. Kita bukan sahaja boleh berjaya dalam satu platform belia, tetapi lebih daripada itu termasuk sukan, usahawan, politik, penyelidikan dan penerokaan sains.

Sehubungan itu, Hamisa juga mahu supaya generasi belia di negeri ini bertindak menjadi mata dan telinga kepada kerajaan termasuklah melaporkan apa sahaja kegiatan sosial yang salah seperti penyalahgunaan dadah dan mat rempit.


No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger